Teater Wangi Jadi Saksi: Satu Bacaan Semula terhadap Sejarah Setia Kawan Tuah-Jebat
(Wangi Jadi Saksi: A Historical Re-reading of the Kinship between Tuah-Jebat )
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml.30(2)no3Abstrak
Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat dalam teks klasik Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah telah menjadi ilham kepada pembuat filem, teater dan pencipta lagu. Filem pertama yang menonjolkan Tuah-Jebat secara audio visual bertajuk Hang Tuah ditayangkan pada tahun 1956 di bawah arahan Phani Majumdar, kemudiannya diikuti oleh filem bertajuk Hang Jebat oleh Hussein Hanif pada tahun 1961. Biarpun dua filem ini adalah antara adaptasi terawal yang menghidupkan watak Tuah-Jebat di layar perak, namun sudah terkesan terdapat kecenderungan tertentu ketika memfilemkannya. Kedua-dua watak ini tampil dengan bacaan dan interpretasi yang berbeza oleh kedua-dua pengarah filem terdahulu. Hal ini tidak dapat dielakkan untuk sebuah filem, drama mahupun teater adaptasi. Tafsiran atau interpretasi semula ialah bahan kreatif seseorang pengarah ketika melakukan adaptasi. Menerusi teater arahan dan skrip oleh U-Wei Haji Saari, kita sekali lagi diingatkan tentang kisah setia kawan Tuah-Jebat dalam Wangi Jadi Saksi. Wangi ditampilkan sebagai saksi mata dan penyimpan rahsia kepada peristiwa pertikaman dua sahabat yang menjadi legenda dalam masyarakat Melayu. Makalah ini akan menjelaskan makna adaptasi dan kesesuaian interpretasi dan bacaan semula U-Wei terhadap kisah pertikaman tersebut melalui watak Wangi dengan memanfaatkan kerangka teori intertekstualiti. Makalah ini mendapati, dalam usaha U-Wei memberikan tafsiran terhadap peristiwa pertikaman Tuah-Jebat, beliau sebenarnya telah mencipta satu teks baharu dengan meruntuhkan kenyataan yang sudah diterima masyarakat berabad-abad lamanya.
Kata kunci: Hang Tuah, Hang Jebat, U-Wei, adaptasi, interpretasi semula
Ketua Editor,