Interpretasi Sejarah Melayu: Representasi Peranan Golongan Diperintah dalam Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka

Pengarang

  • Siti Zahrah Mahfood UPSI
  • Nurulasyikin Hassan Universiti Pendidikan Sultan Idris image/svg+xml

DOI:

https://doi.org/10.37052/ml38(1)no6

Abstrak

Peranan golongan diperintah yang direkodkan dalam teks klasik seperti Sejarah Melayu adalah sangat penting untuk memberikan pemahaman terhadap struktur sosial dan politik masyarakat Melayu tradisional. Naratif Sejarah Melayu yang lebih cenderung memfokuskan peranan golongan pemerintah dan golongan bangsawan menyebabkan peranan dan sumbangan golongan diperintah kurang didendangkan dan mewujudkan kelompangan pengetahuan. Kajian ini berusaha untuk mengisi jurang tersebut melalui tumpuan yang diberikan terhadap struktur sosial, merangkumi peranan komuniti dalam susun lapis golongan diperintah yang kurang mendapat perhatian. Rakyat biasa, golongan hamba dan orang asing merupakan tiga pecahan komuniti besar dalam susun lapis golongan yang diperintah. Golongan diperintah sering kali dianggap pasif dalam struktur lapisan masyarakat Melayu tradisional kerana berada di bawah pengaruh dan kekuasaan pihak pemerintah. Oleh itu, objektif utama kajian ini adalah untuk membincangkan peranan golongan diperintah, iaitu golongan rakyat yang terbahagi kepada beberapa kelas tertentu dalam hierarki sosial masyarakat Melaka dalam memperkukuh kestabilan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan budaya Melayu. Dengan menganalisis dinamik kuasa antara pemerintah dengan rakyat, kajian ini menilai impak golongan diperintah terhadap perkembangan sejarah dan warisan Melayu secara holistik. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif sejarah dan pendekatan analisis deskriptif yang digunakan bagi memerihalkan peranan golongan diperintah sebagai komuniti yang menyokong kepada kelangsungan sistem pemerintahan beraja semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka. Penyelidikan ini turut meneliti aspek mobiliti sosial, khususnya dalam kalangan golongan bawahan. Dapatan kajian ini mendapati bahawa golongan diperintah bukan sahaja berperanan sebagai pelengkap kepada golongan pemerintah tetapi juga sebagai aset berharga yang mengawal keseimbangan dan kestabilan pembangunan sosial dan ekonomi pada masa tersebut.

Teks penuh: PDF

Rujukan

Muat turun

Diterbitkan

2025-06-26