Tanggapan Baharu Taman Botani: Dimensi Manusia oleh Alam dalam Puisi Pilihan Muhammad Haji Salleh
(Rethinking Botanic Gardens: The Human Dimension of Nature in Selected Poems by Muhammad Haji Salleh)
DOI:
https://doi.org/10.37052/ml.28(2)no5Abstrak
Sejak dahulu hingga ke hari ini, taman botani tidak banyak berubah dari segi fungsinya. Umumnya, taman botani memberi tumpuan pada koleksi, kultivasi dan pameran pelbagai jenis tumbuhan. Pada prinsipnya, taman botani berperanan memelihara koleksi tumbuhan hidup bagi tujuan penyelidikan saintifik, konservasi, pameran dan pendidikan. Walau bagaimanapun, salah satu fungsi taman botani telah diabaikan, iaitu menanam dan memberi kesedaran tentang kesatuan antara manusia dan alam. Atas alasan komersial, manusia cenderung untuk memusnahkan alam daripada memeliharanya. Usaha mengawal masalah ini masih belum berjaya. Program pendidikan yang berasaskan informasi saintifik yang dilaksanakan oleh taman botani untuk mendidik para pengunjungnya didapati tidak mencukupi. Dimensi manusia yang ada pada alam yang menjadi satu aspek penting kepada penyatuan manusia dengan alam telah diabaikan. Di mana dan bagaimana untuk mendapatkan dimensi manusia itu? Makalah ini meneroka dimensi manusia yang ada pada tumbuhan khususnya pokok melalui puisi-puisi yang dicipta oleh Muhammad Haji Salleh, seorang penyair terkenal di Malaysia yang telah menghasilkan puisi yang berkaitan dengan pokok-pokok yang terdapat di taman botani tropika. Analisis teks telah digunakan untuk mengkaji puisi-puisi Muhammad Haji Salleh itu. Kajian dapat membuktikan bahawa wujud dimensi manusia dalam puisi-puisinya. Dapatan ini telah memberikan satu wawasan baharu tentang satu model taman botani yang menjalinkan antara botani (science of botany) dengan puisi. Dengan demikian, model baru ini memberikan dimensi manusia kepada taman botani yang tiada dalam model-model taman botani yang ada sekarang. Dengan model yang baru ini, taman botani mempunyai peranan baharu dalam memberikan pendidikan kepada masyarakat umum.
Kata kunci: puisi; dimensi manusia; taman botani, alam
Ketua Editor,