Pemetaan Perundangan Seksyen 70 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 560]: Implikasi terhadap Kesalahan Jenayah Syariah di Alam Siber
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.37(2)no4Abstrak
Aktiviti jenayah syariah yang dahulunya konvensional, kini mengalami evolusi apabila sering dikaitkan dengan jenayah siber yang tidak mempunyai batasan geografi. Mahkamah syariah pula dibataskan pada bidang kuasa negeri sendiri sebagaimana Jadual 2 (Senarai Kedua Jadual Kesembilan) Perlembagaan Persekutuan. Timbul persoalan, sama ada peruntukan sedia ada masih relevan untuk digunakan dalam pembanterasan jenayah siber atau terdapat keperluan pemindaan. Oleh itu, Seksyen 70 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997
[Akta 560] perlu diberikan perhatian, di samping enakmen negeri lain. Kaedah pemetaan perundangan dilakukan bagi melihat hubung kait peruntukan sedia ada dalam aplikasi penguatkuasaan jenayah ruang siber. Bagi menyokong kajian ini, reka bentuk kualitatif digunakan. Pengumpulan data dilakukan melalui kaedah dokumentasi. Seterusnya, data dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan kualitatif melalui pendekatan induktif dan komparatif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa peruntukan sedia ada melalui Seksyen 70 Akta 560 perlu diperincikan dan diaplikasikan terhadap jenayah syariah di ruang siber. Namun begitu, terdapat beberapa cadangan dan keperluan, seperti satu garis panduan melalui Arahan Amalan Kehakiman Syariah untuk dibina dan dikuatkuasakan agar dapat dijadikan asas dan panduan terhadap mahkamah syariah yang berlainan bidang kuasa di setiap negeri dalam penyabitan kesalahan jenayah syariah di ruang siber.
Kata kunci: Kesalahan jenayah syariah, jenayah siber, bidang kuasa mahkamah syariah, Akta Tatacara Jenayah Syariah, penguatkuasaan jenayah siber, ruang siber
Teks penuh: PDF
