Pemakaian Qarinah Qat'iyyah dalam Sabitan Kes Jenayah Syariah: Analisis Perbandingan antara Konsep dengan Realisasi di Mahkamah Syariah

Pengarang

DOI:

https://doi.org/10.37052/kanun.37(1)no2

Abstrak

Dalam penghakiman kes di mana-mana mahkamah, keadilan merupakan matlamat utama. Proses memperoleh keadilan pula memerlukan hakim bergantung harap pada kaedah pembuktian, termasuklah penggunaan qarinah. Qarinah terbukti penting dan digunakan dalam sejarah peradaban Islam. Dari sudut penerimaan, qarinah banyak membantu menyelesaikan pertikaian dalam kes harta, munakahat atau pembunuhan, begitu juga kes yang melibatkan hukuman takzir, qisas dan hudud. Di Malaysia, undang-undang keterangan Islam tentang qarinah yang terpakai di mahkamah syariah diperuntukkan dengan komposisi yang sangat besar sebagaimana yang terdapat dalam Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 561] dan enakmen negeri yang lain. Namun begitu, konsep qarinah tidak diletakkan dalam landasan yang sewajarnya. Hal ini dikatakan demikian kerana akta dan enakmen berkenaan diformulakan mengikut pola undang-undang Inggeris. Akibatnya, skop dan pemakaian qarinah disempitkan sehinggakan kekuatan dalalah qarinah tidak diketengahkan sebagai suatu undang-undang. Sehubungan dengan itu, pengkaji membincangkan kekuatan dalalah qarinah dalam sabitan kes, terutamanya kes jenayah syariah. Dalam kajian ini, kekuatan dalalah qarinah dinilai, sama ada wajar ditentukan terlebih dahulu atau tidak, sebelum hakim mengambil kira keterangan yang dikemukakan di hadapannya. Bagi tujuan ini, pengkaji menggunakan pendekatan kualitatif yang berpandukan kajian kepustakaan dengan menganalisis sumber primer dan sekunder, seperti kitab karangan ahli ulama fiqah, statut, kes yang dilaporkan dan tidak dilaporkan, serta penulisan akademik. Pengkaji mendapati bahawa kekuatan dalalah qarinah, sama ada qarinah qat‘iyyah, atau qarinah kaazibah atau qarinah dha‘ifah, amat penting untuk ditentukan berdasarkan fakta sesuatu kes. Hal ini membantu memberikan ruang kepada hakim syarie untuk mentafsirkan kekuatan dalalah qarinah dengan lebih berkesan.

Kata kunci: Qarinah, undang-undang keterangan Islam, kekuatan dalalah qarinah, qarinah qat‘iyyah, mahkamah syariah, akta dan enakmen keterangan

Teks penuhPDF

Biografi Pengarang

  • Muhamad Helmi Md. Said, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia.
     

Rujukan

Diterbitkan

2025-01-28