Keperluan Undang-undang Laluan Ikhlas di Laut Wilayah Malaysia

Pengarang

  • Wan Siti Adibah Wan Dahalan Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia
  • Nur Nabila Jaafar Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia

DOI:

https://doi.org/10.37052/kanun.36(2)no4

Abstrak

Malaysia antara negara yang meratifikasikan Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa (KUULA) 1982 dan menggunakan konvensyen ini sebagai panduan untuk mentadbir laut wilayah secara berkesan. Pada tahun 2012, Akta Laut Wilayah telah digubal oleh kerajaan sebagai inisiatif untuk menggunakan KUULA 1982 pada peringkat domestik. Namun begitu, realitinya, Akta Laut Wilayah 2012 yang dikuatkuasakan tidak menyentuh penggunaan dan penyeliaan laluan ikhlas untuk perairan Malaysia secara spesifik. Akta ini tidak mencukupi untuk memastikan penyeliaan laluan ikhlas di perairan wilayah Malaysia secara domestik dapat diusahakan dengan jayanya. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji kewujudan dan perkembangan konsep laluan ikhlas di perairan wilayah, mengenal pasti peruntukan hak laluan ikhlas dalam perairan wilayah di bawah KUULA 1982, mengkaji pelaksanaan laluan ikhlas dalam undang-undang domestik Malaysia dan Australia, dan untuk melihat penambahbaikan yang dapat dilakukan oleh Malaysia dalam pemerkasaan undang-undang domestik berkenaan laluan ikhlas di lautan wilayah. Metodologi kajian yang digunakan dalam penulisan ini berbentuk kualitatif melalui kaedah perpustakaan, kaedah perbandingan dan kaedah analisis kritis. Dapatan kajian ini ialah Malaysia tidak mempunyai peruntukan undang-undang domestik yang komprehensif untuk laluan ikhlas di perairan wilayah, manakala Australia telah mengadaptasi peruntukan KUULA 1982 yang berkaitan dengan laluan ikhlas di perairan wilayah secara terus dalam undang-undang domestiknya. Cadangan penambahbaikan yang dapat dilakukan oleh Malaysia adalah seperti mencontohi Australia untuk mengadaptasi peruntukan KUULA 1982 secara terus dalam Akta Laut Wilayah 2012, menggubal akta baharu dan menyusun semula set undang-undang domestik untuk laut.

Kata kunci: Maritim, undang-undang laut, laut wilayah, KUULA 1982, laluan ikhlas, undang-undang antarabangsa

Teks penuh: PDF

Rujukan

Diterbitkan

2024-07-19