Meneroka Isu Orphan Works dari Sudut Pandang Undang-undang Hak Cipta Malaysia
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.36(1)no2Abstrak
Orphan works bermaksud karya yang masih dilindungi oleh hak cipta tetapi pemilik hak ciptanya tidak dapat dikenal pasti, dihubungi atau dijejaki. Pihak-pihak yang berminat perlu mendapatkan persetujuan daripada pemilik hak cipta sebelum mereka boleh menggunakan karya-karya tersebut. Walau bagaimanapun, aspek persetujuan tersebut tidak dapat dipenuhi dalam konteks orphan works sekali gus mendatangkan masalah kepada pengguna-pengguna seperti individu, syarikat, dan organisasi kebudayaan dan kesenian. Oleh itu, makalah ini bertujuan untuk meneroka cabaran dan halangan untuk menggunakan orphan works di Malaysia. Di samping itu, negara-negara seperti United Kingdom, Kanada dan Kesatuan Eropah telahpun menggunakan beberapa strategi untuk menyelesaikan isu ini. Antaranya adalah melalui skim pelesenan dan pengecualian khusus untuk penggunaan karya orphan works. Malaysia masih belum lagi mempunyai sebarang kerangka perundangan dan polisi untuk menyelesaikan masalah ini. Oleh itu, makalah ini juga bertujuan untuk mengkaji strategi yang digunakan di United Kingdom, Kanada dan Kesatuan Eropah sekali gus memberikan beberapa cadangan yang boleh digunapakai oleh Parlimen dan pembuat dasar di Malaysia. Diharapkan makalah ini dapat memberikan kesedaran tentang kelompangan undang-undang dalam isu akses kepada orphan works sekali gus membebaskan karya ini untuk digunakan oleh mana-mana pihak tanpa kegusaran tentang implikasi perundangan.
Kata kunci: Harta intelek, hak-hak harta intelek, hak cipta orphan works, halangan penggunaan, institusi kebudayaan dan warisan, skim pelesenan orphan works
Teks penuh: PDF
