Perlindungan Pascaakad terhadap Pihak Berkontrak melalui Remedi Pilihan Sendiri Menurut Islam dan Undang-undang yang Berkaitan dengan Kontrak

Pengarang

  • Shofian Haji Ahmad Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 Bangi, Selangor, Malaysia

DOI:

https://doi.org/10.37052/kanun.35(1)no7

Abstrak

Pemikiran tentang perlindungan pihak berkontrak memang wujud dalam Islam dan undang-undang kerana menjadi suatu keperluan untuk memberikan keadilan kepada pihak yang lemah dalam berakad, seperti pembeli. Mutakhir ini, banyak kes yang melibatkan penipuan dan eksploitasi terhadap pembeli dan pengguna dalam urusan jualan barang disebabkan oleh ketidakseimbangan kuasa berunding antara kedua-dua belah pihak dalam berakad. Oleh sebab itu, usaha melindungi pihak yang lemah dalam berakad amat wajar kerana dapat memberikan keutuhan kepada kontrak yang dimeterai. Ulama telah menggariskan peraturan tertentu untuk melindungi pihak berkontrak pada peringkat pascaakad. Dalam undang-undang yang berkaitan dengan kontrak juga, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan oleh pihak yang terkilan dalam berkontrak untuk menuntut haknya agar dihormati oleh pihak lain. Antara kaedah yang dimaksudkan termasuklah remedi pilihan sendiri. Makalah ini membincangkan aspek remedi pilihan sendiri yang boleh dituntut oleh pihak yang terkilan selepas akad menurut Islam dan undang-undang. Kajian ini berbentuk kajian perbandingan dengan menganalisis pandangan dari sudut Islam dan undang-undang yang berkaitan dengan remedi pilihan sendiri untuk melindungi dan memberikan keadilan sewajarnya kepada pihak yang lemah dalam berakad. Hasil kajian ini mendapati bahawa wujud beberapa perbezaan pandangan dari segi konsep dan falsafah antara Islam dengan undang-undang kontrak moden tentang bentuk remedi pilihan sendiri. Sesetengah konsep remedi yang terdapat dalam Islam tidak didapati dalam undang-undang moden. Namun begitu, terdapat persamaan dari segi matlamat umum antara Islam dengan undang-undang kontrak moden, iaitu untuk menjamin keadilan dan keseimbangan kuasa berunding antara pihak yang berkontrak. Dapatan daripada kajian ini diharap dapat menyumbang kepada usaha menambah baik aspek perlindungan pihak berkontrak pada masa kini yang semakin kompleks dan rencam.

Kata kunci: Remedi pilihan sendiri, perlindungan pascaakad, khiyar, pembatalan kontrak, hak pemulangan, Islam

Teks penuhPDF

Rujukan

Diterbitkan

2022-12-30