Amalan Pemberian Mas Kahwin dan Wang Hantaran dalam Kalangan Masyarakat Melayu: Perspektif Fiqh dan Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia
(Dowry and Provision of Gift Money in Malay Community from the Perspective of Islamic Jurisprudence and Islamic Family Law in Malaysia)
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.34(1)no7Abstrak
Artikel ini meninjau amalan masyarakat Melayu dalam perkahwinan berkaitan dengan pemberian mas kahwin dan wang hantaran yang diberikan oleh suami kepada isterinya. Menurut kebiasaan dalam majlis akad nikah di kebanyakan negeri kadar mas kahwin disebutkan ketika ijab dan kabul, tetapi tidak disebutkan jumlah wang hantaran, walaupun kedua-duanya dicatatkan dalam sijil pernikahan. Pemberian wang hantaran di samping mas kahwin dilihat sebagai dua elemen yang sama dan berbentuk wang, namun berbeza dari sudut penamaannya. Mas kahwin yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri adalah bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Pemberian wang hantaran pula merupakan adat dan uruf yang diamalkan oleh masyarakat Melayu semasa perkahwinan. Perbezaan pada sebutan nama menimbulkan persoalan tentang kedudukan dan fungsi sebenar wang hantaran serta kesan hukum terhadap hak dan pemilikannya. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan hukum dan kedudukan kedua-dua pemberian tersebut menurut fiqah dan Undang-Undang Keluarga Islam. Artikel ini memaparkan kajian kepustakaan dengan merujuk penulisan ulama fiqah muktabar dan kajian teks terhadap peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan tajuk yang dibincangkan. Hasil kajian mendapati bahawa kurangnya kefahaman dalam memahami hukum mas kahwin dan wang hantaran serta ketidakseragaman rekod butiran perkahwinan dalam sijil nikah membawa kepada salah faham dalam kalangan masyarakat sekali gus memberikan impak dan kesan terhadap hak dan pemilikan kedua-duanya.
Kata kunci: Mas kahwin, wang hantaran, adat, fiqah, Undang-Undang Keluarga Islam, pemilikan
Teks penuh: PDF
