Pandemik COVID-19 di Malaysia: Mengurus Infodemik melalui Majlis Akhbar
(COVID-19 Pandemic in Malaysia: Managing Infodemic through Press Council)
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.33(2)no3Abstrak
Fenomena penyebaran berita palsu dalam talian dilihat semakin berleluasa ketika dunia sedang menghadapi cabaran pandemik COVID-19. Lambakan maklumat yang turut dikenali sebagai infodemik telah memberikan kesan negatif terhadap usaha untuk mengawal penularan virus COVID-19. Fenomena infodemik ini juga telah menimbulkan kegelisahan dan ketidakpercayaan terhadap usaha kerajaan bagi melawan pandemik ini dalam kalangan rakyat. Bagi mengawal infodemik, pihak berkuasa telah menguatkuasakan tindakan perundangan secara tegas, namun dilihat oleh sebahagian pengkritik sebagai tidak efektif, drakonian dan tidak demokratik. Berdasarkan latar belakang ini, kajian ini menilai semula isu-isu perundangan yang timbul dalam kerangka undang-undang antiberita palsu sedia ada di Malaysia yang menyebabkan fenomena infodemik sukar dikawal selia. Kajian ini juga mengusulkan cadangan untuk mengawal selia penyebaran berita palsu dan mengurus infodemik melalui penubuhan Majlis Akhbar. Bagi mencapai objektif ini, kajian ini menggunakan metode kualitatif bagi mengumpulkan maklumat melalui kaedah analisis tekstual perundangan serta kaedah temu bual semi struktur.
Kata kunci: Undang-undang Perlembagaan, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, undang-undang media, Majlis Akhbar, infodemik
