Hak Pemeliharaan Anak bagi Mualaf: Konflik Undang-Undang di Malaysia
(Custody of Mualaf's Child: Resolution of Law Conflict in Malaysia)
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.33(1)no3Abstrak
Pertikaian hak pemeliharaan anak dalam kalangan mualaf yang memeluk agama Islam dan mempunyai rekod pendaftaran perkahwinan di bawah akta sivil di Malaysia sering menjadi perbincangan. Semenjak awal akta ini dikuatkuasakan, permasalahan yang timbul adalah berkaitan dengan ketergantungan hak oleh pasangan mualaf yang memeluk Islam kerana tidak mempunyai hak untuk memfailkan tuntutan perceraian di bawah Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) terutamanya yang melibatkan Seksyen 3 dan Seksyen 51 akta tersebut. Namun demikian, pada tahun 2017 pindaan undang-undang telah dilakukan terhadap kedua-dua peruntukan tersebut bagi menyelesaikan kemelut perundangan yang timbul dan mewujudkan undang-undang yang lebih efisien. Oleh yang demikian, penulisan artikel ini bertujuan untuk membandingkan konsep hadanah undang-undang Islam dan hak pemeliharaan anak menurut undang-undang sivil di Malaysia. Analisis dilakukan terhadap faktor berlakunya konflik yang sering kali terjadi dan menjelaskan implikasi pindaan 2017 (Akta 164) terhadap prosedur permohonan hak pemeliharaan anak pasangan mualaf. Kaedah kajian kepustakaan digunakan bagi mengumpulkan data untuk dianalisis mengikut kaedah analisis kandungan. Hasil penulisan menunjukkan bahawa pindaan undang-undang yang dilakukan berpotensi untuk menyelesaikan isu perceraian mualaf yang sebelum ini terikat dengan perkahwinan sivil tanpa sebarang hak untuk memohon petisyen. Pindaan ini juga mampu memberikan ruang keadilan kepada kedua-dua belah pihak untuk memohon hak pemeliharaan anak setelah urusan perceraian berjaya diselesaikan di bawah mahkamah sivil. dalam hal ini prinsip kebajikan anak tetap perlu menjadi keutamaan dalam setiap keadaan, bukan sekadar perdebatan tentang hak ibu atau bapa yang berstatus mualaf semata-mata.
Kata kunci: Hak pemeliharaan anak, mualaf, undang-undang islam, undang-undang sivil
