Keabsahan dan Pemakaian Arahan Amalan dalam Pentadbiran Kehakiman dari Perspektif Undang-Undang Syariah dan Sivil: Suatu Perbandingan
(Validity and Application of Practice Directions in Judicial Administration from the Perspective of Shariah and Civil Law: A Comparison)
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.33(1)no2Abstrak
Arahan Amalan telah diperkenalkan di mahkamah sivil sejak tahun 1946 dan di mahkamah syariah bermula pada tahun 2000 hasil daripada adaptasi terhadap Arahan Amalan yang diguna pakai di mahkamah sivil. Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan keabsahan dan kedudukan Arahan Amalan serta membandingkannya dari aspek peruntukan undang-undang dan pemakaian antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Kajian yang bersifat kualitatif ini menggunakan kaedah kepustakaan dengan mengaplikasikan instrumen analisis kandungan terhadap peruntukan undang-undang dan laporan kes selain menggunakan kaedah temu bual. Kajian ini mendapati asas pemakaian Arahan Amalan adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Namun begitu, terdapat perbezaan kedudukan dan pemakaian Arahan Amalan di mahkamah syariah dan mahkamah sivil, iaitu dari sudut punca kuasa, pihak yang berautoriti mengeluarkan Arahan Amalan, penguatkuasaan dan status serta penerbitan Arahan Amalan. Hasil kajian ini diharapkan dapat memberikan panduan dan maklumat berguna kepada pihak JKSM dan JKSN untuk menilai semula dan meminda undang-undang sedia ada atau membentuk kaedah-kaedah Arahan Amalan untuk memastikan Arahan Amalan yang diguna pakai di Mahkamah Syariah adalah sah dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.
Kata kunci: Arahan amalan, pentadbiran kehakiman, mahkamah syariah, mahkamah sivil, undang-undang syariah, undang-undang sivil, kaedah arahan amalan
