Undang-undang Kesihatan Pekerjaan di Malaysia: Apakah Selaras dengan Piawaian ILO
Abstrak
Penjagaan kesihatan di tempat kerja yang sempurna bukan sahaja merupakan satu liabiliti majikan dalam sesuatu industri tetapi juga aset sesebuah industri untuk menarik pekerja supaya setia berkhidmat. Di Malaysia, pembentukan Akta Kilang dan Jentera 1967 (AKJ 1967) dan peraturan di bawahnya merupakan satu permulaan yang baik dalam perkembangan penggubalan undang-undang kesihatan. Kemudian Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) pula dibentuk dan bersifat pelengkap untuk merangkumi peraturan umum kepada hampir semua jenis perusahaan dan meletakkan liabiliti menjaga keselamatan dan kesihatan kepada banyak pihak selain majikan. Walau bagaimanapun, persoalan timbul sama ada undangundang yang dibentuk ini memenuhi hasrat dan piawaian yang diletakkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) melalui konvensyennya. Oleh itu, satu analisis kualitatif dibuat terhadap statut berkaitan dengan perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia, iaitu akta tersebut dan peraturannya. Perbincangan terhadap common law juga dibuat kerana pemakaian undang-undang ini dibenarkan di Malaysia di bawah Akta Undang-undang Sivil 1956. Objektif ILO untuk menetapkan piawaian yang tertentu bagi penjagaan kesihatan pekerja menerusi konvensyen yang diadakan di seluruh dunia, namun, pemakaian konvensyen ini tidak diwajibkan kepada mana-mana negara di dunia. Oleh yang demikian, makalah ini akan mengupas tentang undang-undang penjagaan kesihatan di Malaysia dan seterusnya mendapati bahawa ia adalah harmoni dengan ILO walaupun ratifikasi dibuat terhadap konvensyen tersebut.
Kata kunci: penjagaan kesihatan, tempat kerja, Konvensyen ILO.
