Perintah Khidmat Masyarakat Sebagai Hukuman Alternatif di Mahkamah Syariah Malaysia
(The Order of Community Service as an Alternative Punishment in the Shariah Court of Malaysia)
Abstrak
Hukuman kesalahan jenayah syariah di Malaysia pada hari ini masih tertakluk pada tiga tahun penjara, RM5000 denda dan enam kali sebatan. Peruntukan maksimum hukuman tersebut sering kali dipersoalkan kerana dilihat gagal memberikan impak positif sama ada kepada pesalah mahupun kepada masyarakat. Dalam menghadapi situasi ini, hukuman alternatif mungkin dapat dilaksanakan oleh pihak mahkamah syariah agar objektif hukuman tercapai. Oleh yang demikian, terdapat cadangan yang mahu melihat perintah khidmat masyarakat sebagai salah satu bentuk hukuman alternatif di mahkamah syariah. Sehubungan itu, makalah ini bertujuan melihat sejauh mana perintah khidmat masyarakat dapat dilaksanakan dalam kerangka perundangan syariah dengan melihat prospek yang ada bagi tujuan pelaksanaan hukuman ini. Setelah menilai keperluan pelaksanaan perintah ini, kajian ini mendapati bahawa hukuman perintah khidmat masyarakat mempunyai prospek yang cerah untuk dilaksanakan di mahkamah syariah melalui ruang peruntukan yang sedia ada. Perintah khidmat masyarakat berpotensi dilaksanakan sebagai hukuman alternatif terbaik di mahkamah syariah Malaysia.
Kata kunci: perintah khidmat masyarakat, hukuman alternatif, peruntukan undang-undang, mahkamah syariah
