Pemerkasaan Pelaksanaan Sulh dalam Kes Tuntutan Hartanah Orang Islam di Mahkamah Syariah di Malaysia
(Enhancing Sulh Application in Real Estate Property Claims in Malaysian Syariah Courts)
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.33(1)no6Abstrak
Sulh telah menjadi alternatif kepada proses litigasi sejak tahun 2002 di Malaysia. Dalam kes yang melibatkan tuntutan hartanah, mahkamah syariah menghadapi beberapa cabaran semasa pelaksanaan sulh. Punca utama cabaran ini ialah bidang kuasa yang terhad, di samping isu pentadbiran yang lain. Penulisan ini dilakukan dengan objektif untuk menganalisis kaedah pelaksanaan sulh di mahkamah syariah dari aspek hartanah di mahkamah syariah. Kajian ini juga mengemukakan saranan penambahbaikan bagi pemerkasaan penyelesaian kes secara sulh di mahkamah syariah. Kajian ini merupakan penyelidikan kualitatif, iaitu data dikumpulkan menerusi kajian perpustakaan dan temu bual dengan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan proses sulh. Data yang dikumpulkan seperti penghakiman kes dan temu bual dianalisis secara deskriptif kandungannya. Kajian ini mendapati cabaran pelaksanaan sulh berpunca daripada isu pentadbiran. Cabaran perundangan dan bidang kuasa yang terhad tidak banyak memberikan kesan terhadap pelaksanaan tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak mahkamah menggunakan budi bicara untuk melaksanakannya secara fleksibel terhadap undang-undang dan peraturan termasuk prosedur sulh yang sedia ada mengikut kesesuaian. Perkara ini banyak bergantung pada komitmen dan kemahiran pegawai sulh terlatih dan berpengetahuan dalam aspek perundangan dan pengendalian kes. Bagi mengelakkan pertembungan antara peraturan dengan amalan yang berasaskan budi bicara, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilakukan. Penambahbaikan ini melibatkan semakan dan penyelarasan undang-undang serta peraturan sulh sedia ada. Implikasi daripada kajian ini dapat membantu memantapkan pelaksanaan sulh dalam bidang hartanah di mahkamah syariah, terutamanya melalui penambahbaikan tersebut.
Kata kunci: Sulh, hartanah, mahkamah syariah
