Pelaksanaan Kad Radha'ah sebagai Alternatif Penjagaan Nasab Keturunan dan Anak Susuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor
(Implementation of Radha'ah's Card as Alternative Care of Nasab and Babies with Breastfeeding by Selangor Islamic Religious Department)
Abstrak
Kajian ini meninjau pelaksanaan Kad MyRadha'ah yang telah diperkenalkan buat julung kalinya di Malaysia atas inisiatif Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 19 November 2018. Pelaksanaannya sebagai satu mekanisme untuk memperkenalkan identiti anak dan ibu susuan. Usaha ini secara tidak langsung dapat menjaga institusi keluarga Islam khususnya melibatkan hubungan nasab dan mahram dalam ikatan kekeluargaan bagi memanifestasikan maqasid syariah, iaitu penjagaan keturunan (hifz al-nasl). Maka dalam kajian ini, konsep penyusuan dari sudut perundangan Islam dikaji dan pada masa yang sama mengenal pasti institusi atau agensi yang berperanan mengawal selia isu-isu berbangkit berkaitan dengan penyusuan. Data kajian diperoleh daripada kajian kepustakaan dan temu bual. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan metode induktif dan deduktif. Kajian ini mendapati bahawa pelaksanaan Kad MyRadha'ah ini tidak cukup sekadar dilaksanakan oleh sebuah negeri sahaja, dan sewajarnyalah menjadi keperluan kepada negara. Kerjasama pelbagai pihak amatlah penting bagi melaksanakannya secara berperingkat dan memerlukan penyelarasan secara sekata di setiap negeri di Malaysia.
Kata kunci: Kad MyRadha'ah, nasab, hifz al-nasl, penyusuan, ibu susuan
