Good Samaritan Law: Satu Tinjauan Keperluan Kewujudannya di Malaysia
(Good Samaritan Law: A Look at the Necessity of its Implementation in Malaysia)
Abstrak
Umumnya, tiada sebarang liabiliti atau implikasi perundangan dikenakan sekiranya seseorang enggan membantu individu lain yang berada dalam kesusahan. Namun begitu, atas dasar kemanusiaan dan nilai murni sesama insan beberapa negara telah mewujudkan good samaritan law dalam membantu menghalang seseorang daripada enggan tampil menghulurkan bantuan kepada orang yang cedera atau sakit kerana bimbang dikenakan implikasi perundangan sekiranya berlaku kecederaan yang tidak disengajakan atau kematian yang salah. Walaupun terdapat beberapa kesulitan terutamanya kepada mahkamah untuk menentukan pelaksanaan konsep niat baik, tahap kecemasan atau keperluan bertindak dan tahap munasabah sesuatu tindakan atau keputusan, kewujudan undang-undang seumpama itu memberikan galakan kepada budaya good samaritan (orang yang baik hati). Dalam melaksanakannya, penelitian dan budi bicara mahkamah amat dituntut supaya pihak yang dibantu tidak mendapat "kesakitan, kerosakan atau kecederaan berganda" apabila good samaritan dilindungi daripada sebarang liabiliti perundangan. Oleh itu, tujuan artikel ini adalah untuk mengkaji keperluan kepada kewujudan good samaritan law di Malaysia dengan melihat pengalaman Amerika Syarikat dan Australia. Artikel berbentuk konseptual ini ialah kajian kualitatif yang menggunakan metod kajian perpustakaan.
Kata kunci: Good Samaritan, liabiliti sivil, kecemasan, good faith, implikasi perundangan
