Pampasan Kewangan dalam Kes Pembuangan Kerja secara Tidak Adil: Pelaksanaan Mahkamah Perusahaan di Malaysia
(Awarding of Monetary Compensation for Unfair Dismissal Cases: Implementation by the Industrial Court of Malaysia)
Abstrak
Pampasan kewangan sebagai remedi alternatif bagi kes pembuangan kerja secara tidak adil tidak mempunyai standad mekanisma yang tepat dalam peruntukan perundangan sedia ada. Selain itu, terdapat beberapa kelompangan dalam pematuhan peruntukan remedi tersebut yang seringkali dilihat bertentangan dengan prinsip undang-undang konvensional. Hal ini disebabkan penganugerahan award kewangan yang tidak selaras untuk setiap fakta kes tertentu dalam pengiraan dan peratusan pemotongan pampasan kewangan. Award ialah keputusan yang dibuat oleh hakim atau penimbang tara. Sedangkan, prinsip undang-undang konvensional mementingkan keadilan antara kedua-dua pihak majikan dan pekerja dalam perhubungan perusahaan. Oleh itu, artikel ini menggunakan kaedah kajian doktrin dalam menganalisis kes pembuangan kerja secara tidak adil berdasarkan garis panduan yang termaktub dalam Jadual Kedua, Akta Perhubungan Perindustrian 1967, serta kriteria yang digunakan untuk menilai wang pampasan. Hasil kajian ini mendapati bahawa terdapat ketidakselarasan dalam penilaian jumlah pampasan kewangan yang dianugerahkan kepada pekerja yang terlibat. Oleh itu, terdapat keperluan untuk mewujudkan mekanisma yang sesuai dan lebih adil seperti yang dikehendaki oleh Akta Perhubungan Perindustrian 1967.
Kata kunci: Pampasan kewangan, remedi, pembuangan kerja, Jadual Kedua, award
