Status Hak Milik Harta Intelek Hasil Penyelidikan yang Dibiayai Kerajaan di Universiti
(Ownership of University Intellectual Property Resulting from Government Funded Research)
Abstrak
Kebanyakan harta intelek yang dihasilkan di universiti ialah hasil penyelidikan yang dibiayai oleh kerajaan. Hak milik harta intelek bagi hasil penyelidikan yang dibiayai kerajaan pada asalnya terletak kepada kerajaan. Status hak milik ini menyebabkan kesukaran kepada universiti untuk mengeksploitasi harta intelek yang dihasilkan di universiti dan seterusnya menyebabkan longgokan harta intelek hasil penyelidikan yang dibiayai oleh kerajaan yang tidak digunakan dan dieksploitasi. Akta Bayh Dole 1980 yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat telah menjadi contoh kepada kebanyakan negara dengan memberikan hak milik harta intelek hasil penyelidikan yang dibiayai kerajaan kepada universiti sebagai satu insentif kepada universiti untuk meningkatkan penyelidikan dan inovasi di universiti. Makalah ini membincangkan undang-undang hak milik harta intelek di Malaysia dan seterusnya mengkaji peruntukan di bawah Dasar Pengkomersialan Harta Intelek R&D yang dibiayai oleh Kerajaan Malaysia 2009 serta membuat perbandingan dengan peruntukan di bawah Akta Bayh Dole 1980. Pelaksanaan akta berkaitan hak milik harta intelek hasil penyelidikan yang dibiayai kerajaan adalah perlu bagi mewujudkan keseragaman hak milik harta intelek di universiti di Malaysia serta melancarkan pengkomersialan harta intelek hasil inovasi universiti.
Kata kunci: hak milik, harta intelek, hasil penyelidikan dibiayai kerajaan, universiti
