Penggunaan Garis Panduan dan Etika dalam Penambahbaikan Perjalanan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Kesalahan Syariah
(The Use of Guidelines and Ethics in the Improving the Process of Enforcement and Prosecution of Syariah Offences)
Abstrak
Pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia, seperti juga pelaksanaan undang-undang lain memerlukan pengetahuan para pelaksananya mengenai undang-undang. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang syariah di Malaysia terdiri daripada para pelaksana yang mempunyai latar belakang yang bercampur. Sesetengahnya berlatarbelakangkan undang-undang, manakala yang lain berlatarbelakangkan bidang lain. Hal ini lebih ketara dalam kalangan para penguat kuasa undang-undang jenayah syariah yang lantikan skimnya tidak mensyaratkan keperluan bagi seseorang itu berlatarbelakangkan undang-undang. Oleh itu pemahaman terhadap peruntukan dalam akta dan enakmen berkenaan dengan jenayah syariah tidak dikuasai. Hal ini selalunya menyebabkan salah faham dalam menginterpretasikan undang-undang. Selepas kritikan demi kritikan dibuat hasil kegagalan dalam pelaksanaan operasi pencegahan jenayah syariah, pembentukan beberapa garis panduan berkaitan tindakan penguatkuasaan khususnya dilihat dapat mengurangkan masalah berkaitan ketidakfahaman pelaksana undang-undang jenayah syariah. Hal ini demikian kerana salah satu ciri garis panduan ini, aturan dan susunan penerangan dirangka bagi memudahkan kefahaman pembacanya, hatta kepada orang awam sekalipun.
Kata kunci: garis panduan, etika, penguatkuasaan, pendakwaan, kesalahan syariah
