Pemelukan Islam Pasangan Perkahwinan Sivil: Isu Berbangkit dan Cadangan Penambahbaikan menurut Undang-undang Malaysia
(Conversion to Islam by Civil Marriage Spouses: Emerging Issues and Suggestions for Improvement According to Malaysian Law)
Abstrak
Salah satu konflik perundangan dalam undang-undang keluarga di Malaysia yang berlaku ialah pemelukan Islam salah seorang daripada pasangan perkahwinan sivil ke agama Islam. Mereka berdepan dengan isu dalam menentukan undang-undang keluarga manakah yang terpakai ke atasnya dan mahkamah manakah mempunyai bidang kuasa mendengar kesnya. Adakah mereka masih terikat dengan undang-undang keluarga sivil dalam menentukan permohonan perceraian, tuntutan nafkah, hak penjagaan anak dan harta pusaka? Ataupun adakah selepas memeluk agama Islam, undang-undang dirinya bertukar kepada undang-undang Islam yang membolehkan tuntutannya dibuat berdasarkan undang-undang keluarga Islam di mahkamah syariah? Isu kekeluargaan yang dikategorikan sebagai undang-undang diri (personal law) ini bukan sahaja boleh menjejaskan perpaduan rakyat, malah turut memberikan kesan kepada kesucian agama Islam di Malaysia. Makalah ini bertujuan membincangkan beberapa isu yang melingkari kes pemelukan Islam pasangan perkahwinan sivil dan turut menawarkan beberapa cadangan penyelesaian menurut peruntukan undang-undang keluarga di Malaysia.
Kata kunci: perkahwinan, memeluk Islam, bidang kuasa, mahkamah syariah, undang-undang keluarga
