Tadbir Urus dan Pengawalseliaan Ar-Rahnu di Malaysia: Bidang Kuasa Siapakah?
(Governance and Ar-Rahnu Supervision in Malaysia: Whose Jurisdiction?
Abstrak
Terdapat pelbagai kategori agensi yang menawarkan perkhidmatan ar-rahnu meliputi institusi kewangan dan bukan kewangan seperti koperasi, syarikat dan syarikat di bawah rangkaian negeri yang ditadbir oleh badan pengawal selia yang berbeza di Malaysia. Kepelbagaian tadbir urus ar-rahnu ini menyukarkan aktiviti penyelarasan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti ar-rahnu. Artikel ini membincangkan agensi yang lebih sesuai dilantik sebagai badan pengawal selia aktiviti ar-rahnu dan melihat fungsi institusi tersebut untuk memperkukuh mekanisme tadbir urus ar-rahnu. Kajian kualitatif dengan pendekatan kajian kes pelbagai, serta pengumpulan data secara analisis dokumen dan temu bual dilaksanakan. Hasil kajian mendapati penentuan bidang kuasa bagi mengawal selia aktiviti ar-rahnu hendaklah merujuk Perlembagaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan dikenal pasti sebagai badan pengawal selia yang sesuai menyelaraskan aktiviti ar-rahnu dengan dibantu oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Kata kunci: ar-rahnu, bidang kuasa, pengawalseliaan, undang-undang
