Peranan Sulh dan Mediasi dalam Konflik Keluarga di Negeri Kedah Darul Aman: Implikasi Undang-undang dan Sosial
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.37(2)no2Abstrak
Kajian ini memfokuskan peranan sulh dan mediasi dalam penyelesaian konflik kekeluargaan di Negeri Kedah Darul Aman dengan tumpuan diberikan terhadap implikasi undang-undang dan sosial dalam masyarakat setempat. Sulh yang berlandaskan prinsip syariah menekankan aspek spiritual dan emosional, menjadikannya lebih sesuai bagi komuniti yang mengutamakan nilai agama dan budaya tradisional. Sebaliknya, mediasi dalam mahkamah sivil menawarkan pendekatan yang lebih rasional, profesional dan fleksibel yang menjadikannya lebih inklusif bagi masyarakat yang pelbagai. Kajian ini turut mengkaji aspek sosiobudaya, seperti nilai kekeluargaan, adat resam dan pengaruh agama, dalam penentuan keberkesanan kedua-dua mekanisme. Selain itu, norma baharu, seperti teknologi dan mediasi dalam talian, dianalisis bagi memahami cabaran dan peluang bagi memastikan kepekaan budaya terus dipelihara. Menerusi pendekatan kualitatif yang melibatkan analisis dokumen perundangan dan kajian terdahulu, kajian ini memfokuskan cara integrasi antara elemen tradisional dengan teknologi moden mampu meningkatkan keberkesanan sulh dan mediasi. Hasil kajian menunjukkan bahawa sistem penyelesaian konflik keluarga di Kedah masih berasaskan pendekatan tradisional tanpa penerapan inovasi teknologi, namun berpotensi untuk diperkasakan dengan integrasi teknologi bagi meningkatkan kecekapan dan kebolehcapaian. Oleh itu, pengkaji mencadangkan latihan intensif bagi pegawai sulh dan mediator dalam aspek norma budaya dan teknologi, serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang manfaat kedua-dua kaedah ini. Langkah ini penting untuk memastikan sulh dan mediasi kekal relevan, berkesan dan responsif terhadap keperluan masyarakat kontemporari, serta menyokong pembangunan institusi keluarga dalam ekosistem sosial yang makin dinamik.
Kata kunci: Sulh dan mediasi, konflik keluarga, sosial, perundangan, masyarakat, implikasi undang-undang
Teks penuh: PDF
