Kajian Undang-undang yang Berkaitan dengan Minuman Keras di Malaysia: Konflik antara Hak individu dengan kepentingan awam
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.36(2)no6Abstrak
Kajian ini membincangkan undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras di Malaysia berlatarbelakangkan konflik antara hak individu dengan kepentingan awam. Malaysia mempunyai undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras tersendiri. Namun begitu, undang-undang tersebut tidak sepenuhnya berjaya mengurangkan kesalahan yang disebabkan oleh minuman keras. Pada tahun 2020, kematian yang disebabkan oleh pemandu mabuk meningkat, seterusnya menyebabkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda. Namun begitu, pindaan undang-undang tersebut tidak berkesan kerana masih terdapat kesalahan dan ketagihan yang berkaitan dengan minuman keras di Malaysia. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk: (i) mengenal pasti peruntukan undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras di Malaysia; (ii) mengenal pasti isu hak asasi manusia yang wujud daripada undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras di Malaysia; (iii) menganalisis pendekatan undang-undang yang diambil oleh Norway bagi membendung isu yang berkaitan dengan minuman keras; dan (iv) mencadangkan penambahbaikan undang-undang untuk mengawal penggunaan dan penjualan minuman keras di Malaysia. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian ini menggunakan pendekatan undang-undang tulen dan kualitatif doktrinal. Maklumat bagi kajian ini diperoleh daripada statut dan kes perundangan sebagai sumber primer. Hasil kajian menunjukkan bahawa pindaan perlu dilakukan terhadap undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras di Malaysia supaya lebih ketat, serta mewujudkan polisi lesen dan keadilan jenayah dalam undang-undang yang berkaitan dengan meminum alkohol. Oleh itu, kajian ini mengutarakan beberapa cadangan untuk menambah baik undang-undang yang berkaitan dengan minuman keras supaya lebih berkesan untuk mengurangkan kes yang berkaitan pada masa hadapan.
Kata kunci: Minuman keras, alkohol, undang-undang, hak asasi manusia, kepentingan awam, Malaysia
Teks penuh: PDF
