Tanggungjawab Pesalah Kanak-Kanak bagi Kesalahan Curi dalam Undang-undang Islam dan Sivil
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.35(2)no4Abstrak
Jenayah curi merupakan kesalahan jenayah yang berat, sama ada dalam undang-undang jenayah Islam mahupun sivil. Pesalah yang melakukan kesalahan jenayah curi, mengikut sistem keadilan tradisional perlu bertanggungjawab dengan hukuman. Kanak-kanak yang telah mencapai umur minimum liabiliti jenayah jika melakukan kesalahan jenayah curi juga tidak terlepas. Namun begitu, pesalah kanak-kanak tidak boleh diadili seperti pesalah dewasa. Undang-undang Islam mengecualikan kanak-kanak daripada hukuman hudud bagi kesalahan mencuri, namun boleh bertanggungjawab melalui hukuman takzir. Di Malaysia, pesalah kanak-kanak yang terlibat dalam jenayah curi ditadbir dalam Akta Kanak-Kanak 2001, yang boleh dihukum jika disabitkan bersalah. Tanggungjawab pesalah kanak-kanak di Malaysia adalah terbatas pada perintah mahkamah atau hukuman yang diputuskan oleh mahkamah bagi Kanak-Kanak sahaja. Namun begitu Konvensyen Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggalakkan negara ahli untuk menyelesaikan kesalahan jenayah ringan melalui proses keadilan restoratif bagi membolehkan pesalah kanak-kanak bertanggungjawab secara langsung kepada mangsa. Sebagai contoh, United Kingdom dan Brunei telah membenarkan pesalah kanak-kanak bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan berdasarkan teori keadilan restoratif. Kajian ini mengkaji bagaimana pesalah kanak-kanak boleh bertanggungjawab terhadap mangsa berdasarkan undang-undang Islam dan sivil serta pemakaiannya di negara-negara terpilih, dan di Malaysia. Kajian ini mencadangkan agar Akta Kanak-Kanak 2001 dipinda bagi membolehkan pesalah kanak-kanak turut bertanggungjawab secara langsung terhadap mangsa melalui proses keadilan restoratif. Kajian ini menggunakan kaedah doktrinal yang merujuk sumber primer dan sekunder yang terdapat dalam kepustakaan seperti peruntukan undang-undang, kes-kes yang diputuskan, buku, makalah jurnal dan sebagainya.
Kata kunci: Pesalah kanak-kanak, curi, keadilan restoratif, tanggungjawab jenayah, hukuman, undang-undang kanak-kanak
Teks penuh: PDF
