Perkembangan Undang-Undang Persaingan dalam Konteks Harta Intelek di Malaysia
(Development of Competition Law in the Context of Intellectual Property in Malaysia)
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.33(2)no2Abstrak
Undang-undang persaingan telah diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1990-an, namun pada masa itu tidak ada undang-undang khusus mengenai persaingan. Peruntukan berkaitan dengan persaingan terkandung dalam undang-undang yang pelbagai seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Tenaga 2001. Kerajaan akhirnya mengambil inisiatif untuk memperkenalkan undang-undang khusus mengenai persaingan, yang dikenali sebagai Akta Persaingan 2010 untuk menunjukkan integriti dan komitmen Malaysia terhadap semangat integrasi pasaran di rantau ASEAN. Sejak itu, Malaysia telah mengalami perkembangan undang-undang persaingan, terutamanya berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang tersebut dalam pelbagai sektor komersil termasuk harta intelek. Selepas sembilan tahun Akta Persaingan 2010 diwujudkan, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengeluarkan garis panduan khusus mengenai harta intelek sebagai maklum balas terhadap keperluan komersil semasa dan memenuhi aspirasi yang dinyatakan dalam Garis Panduan Bab 1 Larangan (Perjanjian Anti-Persaingan). Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan perkembangan undang-undang persaingan di Malaysia berkaitan dengan harta intelek. Artikel ini memaparkan kajian kepustakaan yang menggunakan sumber primer dan sekunder untuk perolehan data. Hasil kajian menunjukkan bahawa walaupun MyCC telah mengeluarkan garis panduan khusus berkaitan dengan harta intelek (Garis Panduan Hak Harta Intelek dan Undang-Undang Persaingan) untuk menyelesaikan isu berkaitan dengan harta intelek, namun beberapa penambahbaikan perlu dibuat agar pelaksanaannya dapat dijalankan secara berkesan.
Kata kunci: Undang-undang persaingan, harta intelek, Garis Panduan Hak Harta Intelek dan Undang-undang Persaingan, MyCC, Malaysia
