Isu Perlembagaan dan Hak Asasi Manusia dalam Pentadbiran Keadilan Jenayah Syariah
(Constitutional and Human Rights Issues in the Administration of Syariah Criminal Justice)
Abstrak
Pentadbiran keadilan syariah hanyalah sebahagian kecil daripada tugas kehakiman dalam mahkamah syariah di Malaysia. Namun urusannya amat penting kerana dapat memberikan gambaran keadilan syariah terutamanya jika bidang kuasa mahkamah syariah ini diperluas. Hal ini demikian kerana peluasan bidang kuasa bermakna pertambahan bilangan pertuduhan kesalahan jenayah syariah yang dihadapkan ke mahkamah syariah. Pertambahan kes jenayah ini akan lebih menguji keutuhan dan keupayaan mahkamah syariah dalam usaha melaksanakan keadilan. Pemerhatian yang ingin dilakukan dalam makalah ini adalah dari aspek perlembagaan. Masyarakat kini lebih prihatin terutamanya dalam isu hak asasi, oleh itu isu ini amat perlu diketengahkan dan dibincangkan dengan sebaik-baiknya. Makalah ini membincangkan beberapa isu perlembagaan penting yang berkaitan dengan pentadbiran keadilan jenayah syariah seperti kedudukan Islam dalam perlembagaan, kuasa menggubal undang-undang jenayah syariah, kebebasan kehakiman dan kuasa agensi yang terlibat.
Kata kunci: pentadbiran keadilan syariah, mahkamah syariah, undang-undang jenayah syariah, hak asasi
