Polisi dan Perundangan Penubuhan Institusi Pendidikan Tinggi Berasaskan Wakaf: Kajian di Malaysia dan Indonesia
(Policies and Legislation Concerning the Establishment of Higher Education Institutions Funded Through Waqf: Study in Malaysia and Indonesia)
Abstrak
Pembangunan sesebuah negara sering diukur berdasarkan pembangunan institusi pendidikan tingginya (IPT). Kejayaan dan kelestarian tamadun Uthmaniyyah menunjukkan bahawa sistem pendidikan tinggi berasaskan wakaf membawa kesan positif kepada masyarakat di Turki. Oleh itu, sistem pendidikan berasaskan wakaf mula dipraktikkan di kebanyakan negara termasuk Malaysia dan Indonesia. Artikel ini bertujuan menganalisis perundangan dan prosedur yang terlibat dalam penubuhan IPT berasaskan wakaf. Kaedah kualitatif yang dilaksanakan melibatkan universiti di Malaysia dan Indonesia sebagai kajian kes. Temu bual secara separa struktur digunakan sebagai kaedah kutipan data dan disokong dengan rujukan polisi yang diguna pakai dan dokumen perundangan yang berkaitan. Hasil kajian mendapati, masih tiada polisi khusus yang berkaitan dengan penubuhan IPT berasaskan wakaf di kedua-dua negara. IPT berasaskan wakaf di Malaysia ditubuhkan berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, statut wakaf dan statut yang berkaitan dengan pentadbiran agama Islam negeri, manakala penubuhan IPT berasaskan wakaf di Indonesia kebanyakannya melibatkan institusi swasta dan ditubuhkan melalui yayasan.
Kata kunci : institusi pendidikan tinggi, wakaf, polisi dan perundangan.
