Perkembangan Terkini Enakmen Wakaf di Malaysia: Adakah Komprehensif?
(Latest Development Relating to Waqf Enactments in Malaysia: Are the Laws Comprehensive?)
Abstrak
Negeri Perak, Terengganu, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan mengambil langkah positif memperkenalkan suatu enakmen khusus bagi menguruskan hal ehwal wakaf, sedangkan negeri lain masih dalam proses memperkenalkan undang-undang yang sama, dan terdapat negeri yang masih menggunakan peruntukan yang sedia ada dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam. Dengan menggunakan kaedah kajian doktrin dan metodologi perbandingan, artikel ini menganalisis setiap peruntukan dalam enakmen wakaf yang baharu dan melihat sejauh manakah perundangan tersebut dapat merungkaikan masalah wakaf negara. Hasil kajian mendapati peruntukan enakmen wakaf tersebut lebih bersifat komprehensif kerana penyusunannya mengambil kira hasil dapatan kajian terdahulu. Peranan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi dan sinergi wakaf dengan perbankan Islam menjadi pemacu utama perkembangan wakaf negara. Kesedaran dan promosi tentang kepentingan wakaf wajar dilaksanakan menerusi pendekatan sinergi, inovasi dan kerjasama antara institusi wakaf dengan zakat, sinergi wakaf dengan instrumen lain, serta pemerkasaan institusi melalui penguatkuasaan dan keluasan bidang kuasa melalui sistem perundangan.
Kata kunci: wakaf, enakmen wakaf, sektor ketiga ekonomi, perbankan Islam
