Penentuan Kadar Harta Sepencarian selepas Kematian Pasangan: Kajian Kes di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru
DOI:
https://doi.org/10.37052/kanun.37(2)no3Abstrak
Harta sepencarian diiktiraf oleh undang-undang keluarga Islam di setiap negeri dan boleh dituntut atas sebab perceraian, poligami atau kematian walaupun tidak pernah dinyatakan dalam al-Quran atau hadis. Namun demikian, undang-undang mengenai penentuan kadar pembahagian harta sepencarian selepas kematian pasangan tidak diperuntukkan secara jelas dalam mana-mana statut. Hal ini menyebabkan kekeliruan bagi pihak yang ingin menuntutnya. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti pendekatan Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru dalam penentuan kadar pembahagian harta sepencarian bagi tuntutan selepas kematian pasangan. Kajian ini berbentuk kualitatif, iaitu menganalisis dokumen melalui kes yang dilaporkan di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru dari tahun 2022 hingga tahun 2024. Selain itu, temu bual separa berstruktur dilakukan terhadap seorang hakim syarie, penolong pendaftar dan pegawai sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Johor Bahru. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kadar pembahagian harta sepencarian yang ditetapkan oleh mahkamah berbeza-beza disebabkan oleh tafsiran yang tidak seragam berhubung takat sumbangan yang diberikan oleh pihak terbabit. Oleh itu, pengkaji mencadangkan penggubalan satu garis panduan khusus tentang penetapan kriteria sumbangan dan tempoh tuntutan, serta memastikan penentuan harta sepencarian dilakukan sebelum pembahagian pusaka difaraidkan bagi menjamin keadilan dan keseragaman dalam pelaksanaan tuntutan.
Kata kunci: Undang-undang keluarga Islam, harta sepencarian, kematian pasangan, pembahagian harta sepencarian, sumbangan pasangan, Mahkamah Tinggi Syariah
Teks penuh: PDF
